Thursday, January 10, 2008

Akimichi Choji

Akimichi Choji
Akimichi Choji

Akimichi Choji merupakan salah seorang watak dalam siri animasi-manga-dan permainan Naruto, karya Masashi Kishimoto. Watak ini muncul buat pertama kalinya dalam siri animasi pada episod 1 dan bab ke 34 di dalam manga. Kini, merupakan salah seorang ahli ninja perkampungan Konoha dengan pangkat Chunnin dan merupakan teman sekumpulan Nara Shikamaru dan Yamanaka Ino.

Latar Belakang

Akimichi Choji adalah seorang ahli yang setia dan baik hati dalam Pasukan 10 (Pasukan Asuma) yang terdiri daripada dirinya, Nara Shikamaru dan Yamanaka Ino. Choji boleh menjadi seorang sahabat yang baik dan mesra. Choji, Shikamaru dan Ino menggelar sendiri sebagai 'Pasukan Ino-Shika-Choji', sebagaimana yang telah dilakukan oleh ayah mereka.

Sebagai ahli keluarga Akimichi, Choji menguasai beberapa jurus rahsia yang membolehkan tubuhnya mengembang beberapa kali ganda. Jurus yang paling biasa dilakukan oleh Choji dikenali sebagai 'Baika no Jutsu, 倍化の術' (Teknik Aneka Saiz). Dia mengaplikasikan jurus ini untuk melakukan serangan 'Nikudan Sensha, 肉弾戦車' (Peluru Manusia); Choji akan merupakan dirinya sebagai bola gergasi dan menyerang dengan menggolek pihak lawan sambil melaung perkataan 'Golek'. Dalam siri anime, Choji mengatakan bahawa dia berlatih seorangan.

Choji senang dimotivasikan dengan makanan dan menjadi amat marah seandainya seseorang memanggilnya 'Gemuk' (dia mengatakan bahawa dirinya hanya 'bertulang besar' atau 'tembam'). Tetapi, Choji tidak menyembunyikan hakikat bahawa dia suka makan dengan memakai pakaian yang bertulis 'makanan'. Sikapnya yang suka makan dan sentiasa lapar amat merunsingkan teman seperjuangannya.

Choji dan Shikamaru

Choji menjalin hubungan persahabatan yang utuh dengan Nara Shikamaru. Mereka berdua saling mempercayai dan Shikamaru menjadi salah seorang daripada mereka yang mengenali sifat baik hati dan kekuatan sebenar Choji. Oleh sebab itu, Choji amat menghormati Shikamaru sebagai temannya dan sanggup berkorban nyawa deminya.

Semasa Choji masih muda, dia tidak dibenarkan bermain dalam permainan 'Ninja' kerana selalu merundung kekalahan kepada kumpulannya. Kawannya selalu mencemuhnya kerana hal ini. Tetapi, Shikamaru tetap teguh berdiri di sampingnya dan memberi sokongan moral kepada Choji, walaupun akhirnya Choji masih dilarang bermain dengan mereka.

Choji dan ayahnya dilihat berbual-bual di bumbung sebuah bangunan kerana Choji sedih dilayan sedemikian oleh kawan-kawan lain. Ayahnya memberitahu Choji bahawa suatu hari kelak, Choji akan menemui seseorang yang dapat bergaul mesra dengannya dan pasti akan menjadi teman akrab. Tidak lama kemudian, Shikamaru tiba dan Choji mengenalinya sebagai budak yang mempertahankannya sewaktu permainan 'Ninja' tadi. Dia bertanya sebab Shikamaru tidak meneruskan permainan tersebut dan menerima jawapan, "Terlalu menyusahkan." Shikamaru memberitahu Choji bahawa dia suka datang ke sini untuk melihat awan dan Choji sedang duduk di tempat kegemarannya. Choji dengan serta-merta bangun dan Shikamaru berbaring di tempat tersebut dan kemudiannya mengajak Choji agar melihat awan bersama-sama. Choji gembira dengan pelawaan ini dan menjemput Shikamaru makan snek yang dibawa bersamanya. Shikamaru menerima jemputan Choji menyebabkan Choji berasa amat gembira kerana akhirnya, muncul seseorang yang berlaku sopan dan baik dengannya. Semenjak peristiwa tersebut, mereka berdua menjadi teman baik.

No comments: